Thursday, July 19, 2007
AQ PERINGKAT AKHIR MUSIM KEDUA Assalamu'alaikum wbt...
Tentu ramai di kalangan anda yang menonton peringkat akhir Akademi Al-Qur'an musim kedua ini sama ada di Putrajaya mahupun di hadapan kaca tv masing-masing. Saya juga tidak melepaskan peluang mendengarkan alunan bacaan al-Qur'an berlagu yang mashaALlah sangat mendamaikan jiwa.
Dulu kecik-kecik, mak ayah ada hantor blajor mengaji tarannum camtuh. Tapi tak mo belajar sungguh-sungguh, had takat bayati je la yang tau. Yang saya kagumi sebenarnya adalah qiraat 7 imam dan 14 perawi yang kesemua peserta bermula dari tidak tahu kepada penguasaan yang baik setelah tamat AQ. uhu..itu membuktikan semua orang boleh belajar asalkan mahu.
Khilaf dari sudut Lahjah (dialek Bacaan qiraat disandarkan kepada bacaan tujuh imam iaitu:
* Qiraat Nafi'
* Qiraat Ibnu Kathir
* Qiraat Abu A'mru
* Qiraat Ibnu A'mir
* Qiraat A'sim
* Qiraat Hamzah
* Qiraat Kisaei
14 perawi:
l Qolun
l Warsh
l Bazzi
l Qunbul
l Durri
l Susi
l Hisham
l Ibnu Zakuan
l Hafs
l Shu'bah
l Kholaf
l Kholad
l Abu Harith
l Durri Kisaei
Jangan tanya saya, saya pun tak paham apa yang saya paste. Moga-moga satu hari nanti akhirnya saya dapat memahami juga kesemua ilmu ini.
Ilmu Qiraat dianggap asing oleh masyarakat Melayu kerana ia tidak dimasyhurkan di negara kita, sedangkan ia berkembang luas pada zaman Rasulullah SAW. dan selepasnya. Sebenarnya ia bukan suatu ilmu yang asing bagi umat Islam di Malaysia, bahkan Al-Quran yang dibaca sekarang adalah Qiraat, tetapi masyarakat kita tidak mengetahuinya. Sebagaimana Al-Quran dan Qiraat adalah suatu kombinasi yang tidak dapat dipisahkan, begitu juga pada ilmu Tajwid. Ini bermakna Al-Quran itu adalah Qiraat dan Tajwid itu adalah Al-Quran. Maksudnya jika seseorang itu membaca Al-Quran tanpa bertajwid ia tidak dinamakan Al-Quran, juga tidak menjadi suatu ibadat, bahkan ia berdosa di sisi syarak.
Firman Allah SWT, ِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلا "Bacalah Al-Quran dengan murattal (bertajwid dan menyebut hurufnya dengan baik)."(al-Muzammil: 4)
AQ peringkat akhir musim kedua sedikit berbeza berbanding AQ peringkat akhir musim pertama. Mengapa? Sebab, ada seorang adik berusia 17 tahun yang buta kedua belah matanya yang membacakan ayat-ayat Al-Quran secara berlagu sewaktu pembukaan AQ peringkat akhir musim kedua itu. Adik tersebut pergi menghadiri uji bakat untuk menyertai AQ namun kurang bernasib baik. SubhanaLlah..Tersentuh hati saya melihat kegigihan adik ini untuk belajar lebih mendalam lagi ilmu qiraat. Kita yang celik pun dah cukup puas hati dengan bacaan kita yang sebenarnya taklah setepat mana. Dan ini juga membuktikan sesiapa sahaja boleh dekat dengan ALlah tidak kira celik atau buta. Benarlah janji ALlah: "Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu."
Namun, tidak cukup untuk kita membaca bacaan dengan tarannum dan tajwid yang hebat, tetapi ayat-ayat ALlah kita nafikan dan buang dalam kehidupan. Na'uzubillah. Kedua-duanya perlu seiring dan selangkah; pembacaan, pemahaman dan penafsiran ayat-ayat ALlah itu sendiri. Moga-moga kita semua tergolong dalam generasi al-Quran yang bakal menyemarakkan syariat ALlah di muka bumi ini. Biiznillah.
Wallahua'lam...
"ToTaLLy BLanK selesai menaip @ 10:19 am"
(2) comments
Wednesday, July 18, 2007
NEGARAKU MERDEKAAssalamu'alaikum wbt
Hampir 50 tahun negara kita merdeka. Tidak aku nafikan, iklan-iklan merdeka di televisyen mampu membuatkan diriku terasa bangga dengan tempat tanah tumpah darahku ini. Daripada penggunaan kerbau membajak sawah ke penggunaan traktor. Daripada sebuah kuala yang berlumpur ke bangunan-bangunan pencakar langit yang tersenggam indah di mata dunia. Kesemua pembangunan materiali ini tidak kunafikan cukup membuatkan aku berasa berbesar hati dengan kejayaan negara hidup berdikari selama 50 tahun tanpa penjajahan si pengkoloni.
Namun, setiap kali membaca suratkhabar, hati berasa direnyuk-renyuk dengan realiti masyarakat yang sememangnya tidak merdeka. Pakaian si penghias akhbar langsung hilang nilai ketimuran. Lagaknya seperti bukan sebuah negara syiar Islam lagi dah padahal di dalam kad pengenalan tertera perkataan Islam sebagai agama. Aduhai...Tidak cukup untuk kita hanya mengeluh!
Lihat sahaja kes pembunuhan di sana sini. Ibu membunuh anak, ibu mendera anak, rogol di sana sini, ibu buang anak, bayi luar nikah yang beratus ribu jumlahnya. Mengapa tiada iklan tentang kegagalan pembinaan insan yang berakhlak mulia dipaparkan di media? Mengapa ingin menonjolkan yang baik-baik sahaja sedangkan hakikatnya kejayaan material itu tidak membawa apa-apa dari sudut pembangunan insan?
Aku bukan bercakap kosong. Ada fakta yang boleh membuktikannya. Kalau anda rajin, kumpullah lagi fakta-fakta yang ada. Layarilah laman web Pejabat Perbendaharaan Malaysia:
http://www.treasury.gov.my/index.php?ch=20&pg=155&ac=1906 Harap dapat membuka mata anak-anak Malaysia yang masih tidur.
Program Bintang Kecil di tv9. Ini lagi satu yang aku pening kepala. Kasihan kanak-kanak zaman sekarang. Nampaknya bidang nyanyian sudah jadi satu bidang 'profesional' yang bakal menjadi satu karier idaman dan boleh menjamin kehidupan di dunia dan di akhirat. Sama tara dengan bidang-bidang pekerjaan yang lain; perubatan, kejuruteraan, perakaunan, perguruan dan lain-lain lagi. Anehnya, kesemua peserta Bintang Kecil, anak-anak Melayu semuanya!
Bukan sahaja Islam sudah tergadai, nampaknya orang Melayu sudah semakin melayu! Agama hilang, jati diri bangsa pun hilang. Merdeka 50 tahun....
"ToTaLLy BLanK selesai menaip @ 12:51 am"
(0) comments
Sunday, July 08, 2007
DAMAI BERTEMU KELUARGAAssalamu'alaikum wbt,
ALhamdulillah aku telah selamat tiba di tanah air pada hari Rabu yang lepas. Sekali lagi aku bercuti dengan hati yang tenang kerana aku lulus Tahun Kedua sebagai pelajar perubatan. Setinggi-tinggi kesyukuran kupanjatkan kepada Yang Maha Memberi. Tanpa rahmah dan pertolonganNYA pasti aku tidak dapat mencapai kelulusan tersebut. Perasaan damai bertemu keluarga tidak dapat ku gambarkan. =)
Dua hari selepas ketibaanku di rumah, aku digembirakan dengan kehadiran
parcel daripada rakanku (cik doyot yang cumil). Apa tidaknya, novel tulisan Habiburrahman El Shirazy yang terbaru di Indonesia yang bertajuk Ketika Cinta Bertasbih diposkan kepadaku! Terima kasih banyak-banyak doyot kerana bersusah payah membelikan dan mengeposkan buku ini kepada aku ni. Heh..Nanti akan ku bayar ya. =)
Buku tulisan Kang Abik seperti biasa temanya pasti tentang cinta. Ku kagumi usaha beliau yang cuba mendidik manusia tentang cinta sebenar yang diredhai ALlah dan konsep cinta hakiki kepada Sang Pencipta yang seringkali dipandang enteng oleh manusia dalam bentuk penulisan novel yang aku yakin pasti mampu memberi bekas kepada anak-anak muda yang sekarang sangat liat untuk menghadiri majlis ilmu. Mahupun yang telah mempunyai pengetahuan tentang cara pergaulan dalam Islam, tidak semestinya diaplikasikan dalam kehidupan dan ceritera seperti novel-novel Kang Abik mampu memberi penceritaan deskriptif dan memberi gambaran yang 'hidup' tentang tema utama dalam kebanyakan novel Kang Abik.
Kang Abik sentiasa berjaya menyampaikan mesejnya terus menikam di dalam hati aku sebagai pembaca. Tidak bosan membaca karangannya kerana terselit pelbagai aspek lain yang menjadi penghidup cerita. Kang Abik berjaya mendidik pembaca tentang masalah fiqh dan kehidupan beragama di dalam novel-novel karangannya. Karekter watak utama dalam novel Ketika Cinta Bertasbih (Azzam) yang mempunyai jati diri yang tinggi berjaya memotivasi diriku dalam menghadapi kehidupan sehari-harian. Ternyata, pandanganku tentang definisi kejayaan dalam hidup berubah apabila selesai membaca novel ini.
Ternyata aku terlalu memuji Kang Abik. Tapi, bacalah dan anda pasti mempunyai pandangan yang sama denganku. Aku menanti-nanti novel Ketika Cinta Bertasbih 2 akan dipasarkan di toko-toko buku di Indonesia (Novel Ketika Cinta Bertasbih ini adalah novel dwilogi). Kalau ada sesiapa yang nak hadiahkan kepadaku mana-mana novel Kang Abik yang belum ku miliki, ini pesananku:
Cari versi Indonesia. Aku tidak mahu versi Bahasa Melayu kerana sasteranya telah hilang dan sudah hilang kesedapan membacanya. Novel itu jadi tidak hidup. Cukuplah aku bercerita tentang novel itu. Aku berharap cuti kali ini cuti yang dapat ku manfaatkan sepenuhnya dengan baik selain menjadi suri rumah sepenuh masa yang berjaye..hehe..Ayah pun dah pasang streamyx semata-mata untuk anaknya senang nak buat keje. Uhu..Manakan dapat ku balas kasih sayang dan jasa kedua orang tuaku. Selamat bercuti kepada mereka yang sedang bercuti dan selamat meneruskan perjuangan bagi mereka yang masih menempuh peperiksaan atau baru masuk sem baru bagi rakan-rakan di Malaysia.
Semoga kita semua diberikan kekuatan untuk memainkan peranan dalam menghadapi suasana masyarakat di tanah air yang semakin pincang, institusi keluarga yang semakin porak peranda dan anak-anak muda yang semakin tidak punya hala tuju.
"ToTaLLy BLanK selesai menaip @ 8:22 pm"
(0) comments