Wednesday, May 09, 2007
AYAT-AYAT CINTA BAHAGIAN 2Assalamu'alaikum wbt...
Sewaktu entry sebelumnya ditulis, aku masih lagi di separuh pertama dalam pembacaan novel ini. Namun, ketika itu, jalan ceritanya masih lagi tidak menusuk dan menerjah masuk ke dalam ruangan hati ini yang berjaya membuatkan air mataku tumpah. Aku teruskan pembacaan dan bertekad untuk menghabiskan novel ini pada malam tadi dan ya, aku memang membaca buku ini sehingga ke noktah terakhir dan hanya lelap pada jam 5 pagi. Sangkaanku tentang penyampaian mesej cinta yang diredhai ALlah yang tipikal dalam novel ini ternyata meleset, kerana inilah novel yang benar-benar mengetuk pintu hatiku dan membangunkan jiwaku. Meskipun aku gemar akan novel-novel tulisan Faisal Tehrani yang tidak kunafikan membangunkan akal dan mengajak manusia berfikir, namun novel karangan Habiburrahman El Shirazy ini menyentuh jiwaku dan tanpa kusedari air mataku gugur satu persatu. Air mata yang penuh pengertian...penyesalan...harapan...dan kesyukuran...
Tidak mahu ku perpanjangkan tentang hal ini..Namun apa yang ingin aku serukan kepada sahabat-sahabat yang ingin membaca, bacalah novel ini...Mungkin di separuh pembacaan yang pertama anda tidak akan merasakan apa-apa, namun teruskanlah pembacaan kerana di separuh pembacaan yang kedua, anda akan dapati mesej yang sarat dengan pengertian, yang pasti akan mengusik jiwa bagi mereka yang benar-benar menghayati...
Aku menangis tatkala Fahri bermimpi akan kedatangan Abdullah Bin Mas'ud di dalam mimpinya...alangkah hinanya aku, seorang sahabat nabi pun tidak pernah hadir ke dalam mimpiku...
Aku menangis tatkala Fahri meletakkan tawakkal yang tinggi apabila difitnah oleh orang memperkosa seorang gadis Mesir....Keadilan dunia seperti terlalu jauh untuk memenangkan Fahri...Namun kebenaran itu hak mutlak ALlah...Fahri begitu gagah jiwanya, meletakkan keadilan di akhirat sebagai puncak segala dan rela dihina di dunia daripada mengaku sesuatu perbuatan keji yang tidak dilakukannya..
Aku menangis tatkala Fahri dan rakan-rakan sepenjara diseksa oleh algojo yang tidak berhati perut dan hilang sifat kemanusiaan...betapa mereka tabah dan terus menerus sujud kepada Yang Esa tanpa rasa jemu dan berputus harap...
Aku menangis tatkala undang-undang manusia diagung-agungkan oleh orang Islam sendiri...betapa umat Islam diperkotak-katikkan oleh orang-orang kafir laknatullah yang tidak akan senang sehingga Islam hancur..
Aku menangis tatkala Fahri melafazkan satu daripada ayat-ayat cinta yang diwahyukan kepada ALlah kepada manusia kepada isterinya Aisha
..."Orang-orang yang akrab saling kasih mengasihi, pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertakwa...Surah Az-Zuhruf ayat 67"....betapa cinta itu suci, bukan sekadar cinta di dunia, namun yang penting di akhirat nanti kita dapat bersama dengan orang yang kita cintai...
Aku menangis tatkala Fahri mula berjaya dalam hidupnya setelah bermula daripada kehidupan seorang budak Indonesia yang miskin dan melanjutkan pelajaran berbekalkan wang jualan sawah kakeknya. Betapa ALlah berkuasa memuliakan dan menghinakan sesiapa yang dikehendakiNYA....
Aku menangis memikirkan ketulusan hati Maria, seorang gadis Koptik Krisitan Mesir yang kadangkala orang Islam sendiri jauh bagai langit dan bumi berbanding ketulusan hatinya...
Aku menangis tatkala Maria yang berada di dalam keadaan koma telah bermimpi tentang syurga...Diketuknya pintu-pintu syurga kerana ingin memasuki istana yang luar biasa indahnya yang tidak dapat difikirkan oleh jangkauan pemikiran manusia dan mengikuti banyak sekali manusia yang berpakaian indah satu persatu masuk ke dalamnya melalui sebuah pintu yang tiada terbayangkan indahnya...Diketuknya Babush Shalat, Babur Rayyan, Babuz Zakat, Babut Taubah namun kemasukannya ditolak kerana dia tidak melakukan solat, puasa, zakat dan bertaubat...Sampai di Babur Rahmah Maria diberitahu kunci untuk memasukinya...betapa aku bersyukur akan nikmat keislaman yang ALlah berikan ini...
Aku menangis tatkala aku akhirnya sedar, betapa nikmat cinta yang ALlah berikan ini terlalu suci, terlalu murni dan sering disalahertikan oleh manusia yang tidak tahu bersyukur pada Yang Maha Memberi...
Aku menangis kerana aku malu dengan Penciptaku...Sesungguhnya kasih sayangNYA dapat kurasai pada setiap musim, setiap waktu, setiap detik...tapi aku jarang sekali bersyukur...
Allah...Kau terimalah hambaMU yang lemah ini dalam mencari cintaMU.
Allahumma inni as-aluka ridhaaka wal jannah...
"ToTaLLy BLanK selesai menaip @ 8:45 pm"