Sunday, May 13, 2007
SEDIH LAGI MENYEDIHKANAssalamu'alaikum...
Perkongsian daripada seorang sahabat. Patut ditulikan telinga? Dibutakan sahajakah mata kita?
Artikel 1
Ustazah ditemui mati separuh bogel, mati dicekikKAPIT 9 Mei – Polis hari ini mengesahkan seorang ustazah yang ditemui mati dalam keadaan separuh bogel di sebuah anak sungai terpencil berhampiran kawasan Perindustrian Bleteh, kira-kira tiga kilometer dari sini semalam, mati akibat dicekik.
Ketua Polis Daerah Kapit, Asisten Supritendan Johar Ahmad berkata, punca kematian mangsa itu diperoleh daripada hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat Anizah Othman, 26. “Bagaimanapun bedah siasat tidak dapat mengesahkan sama ada mangsa turut dirogol kerana keadaan mayat yang telah bengkak akibat berada lama di dalam air,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam kejadian semalam, mayat Anizah, seorang ustazah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Hin Hua, di Song, dekat sini, ditemui dalam keadaan terapung pada pukul 10 pagi. Penemuan mayat itu dilaporkan kepada polis oleh seorang lelaki Iban. Mayat mangsa ditemui dalam keadaan separuh bogel dengan seluar jeans yang dipakainya tertanggal dan ditemui kira-kira tiga meter dari lokasi mayatnya ditemui.
Guru tersebut yang baru empat bulan bertugas di sekolah berkenaan mengajar Pengetahuan Agama Islam, dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu, selepas dia bertolak dari Song ke pekan Kapit dengan feri ekspres untuk bertemu rakannya. Pihak sekolah yang menyedari guru terbabit tidak datang bertugas sejak kelmarin kemudian membuat laporan kehilangan mangsa di Balai Polis Song, pagi kelmarin.
Sumber: Utusan Malaysia 10/5/07
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0510&pub=utusan_malaysia&sec=dalam%5Fnegeri&pg=dn_08.htm&arc=hiveArtikel 2
Sejauh manakah selamatnya guru-guru kita di pedalaman?BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan berita seorang ustazah yang ditemui mati dalam keadaan separuh bogel di sebuah anak sungai terpencil berhampiran kawasan perindustrian Bleteh, kira-kira tiga kilometer dari Kapit, Sarawak.
Mangsa yang dikhabarkan baru empat bulan bertugas di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Hin Hua, Song dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu, selepas dia bertolak dari Song ke pekan Kapit dengan feri ekspres untuk bertemu rakannya. Dalam kehangatan isu keingkaran ramai guru untuk berkhidmat di kawasan pedalaman, masih ada guru yang sanggup berkorban demi memenuhi tanggungjawabnya sebagai pendidik.
Namun malang tidak berbau, belum pun sempat pengorbanannya itu diiktiraf oleh mana-mana pihak, ia berakhir dengan tragedi. Tambah menyedihkan lagi apabila beliau baru sahaja menerima gaji pertama sebagai guru bersama tunggakan tiga bulan yang sememangnya perkara biasa yang perlu dialami oleh guru yang baru bertugas.
Selepas mendengar berita ini, mungkin kita terfikir, sejauh manakah tahap keselamatan guru-guru kita di pedalaman? Siapakah yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan mereka, sekiranya guru tersebut masih belum bersuami atau terpaksa berjauhan daripada suami semata-mata untuk menunaikan janjinya kepada Kementerian Pelajaran? Mungkin inilah antara isu yang sering menjadi hambatan kepada para guru perempuan apabila diminta untuk melaporkan diri di sekolah yang berada jauh di pedalaman sebaik sahaja menamatkan kursus perguruan. Mampukah elaun yang dijanjikan oleh Kementerian Pelajaran baru-baru ini menjadi penguat semangat untuk mereka mematuhi arahan kementerian sedangkan tahap keselamatan mereka tidak pernah dipedulikan?
Oleh hal yang demikian, dalam menampung kekurangan guru di kawasan pedalaman, masalah keselamatan tidak boleh diabaikan oleh pihak kementerian. Memang tidak dapat dinafikan, tragedi boleh berlaku di mana sahaja tidak kira di bandar atau desa. Namun, dengan menempatkan guru perempuan di sekolah pedalaman sehingga memaksa mereka berjauhan daripada suami atau keluarga masing-masing secara tidak langsung membuka ruang kepada berlakunya pelbagai kejadian yang tidak diingini. Meskipun kita tidak dibenarkan oleh ajaran Islam untuk bersikap pesimis terhadap sesuatu yang bakal berlaku tetapi bukankah kita disarankan agar mencegah sesuatu daripada terjadi sebelum keadaan menjadi parah?
Semoga dengan terpaparnya berita ini, pihak yang berkenaan boleh membuka mata untuk memikirkan kembali sejauh manakah kaedah penempatan guru yang diamalkan selama ini dapat menjamin tahap keselamatan mereka. Usahlah kita berterusan untuk bersikap ‘apabila terhantuk baru tengadah’ dan sekadar menunggu ‘pisang berbuah dua kali’ barulah tindakan drastik diambil kerana pada saat itu segala-galanya sudah terlambat.
– AHLI FIKIR,
Kuala Lumpur.
Sumber: Utusan Malaysia 11/5/07
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0511&pub=utusan_malaysia&sec=forum&pg=fo_03.htm&arc=hive
"ToTaLLy BLanK selesai menaip @ 2:28 am"